Isu dalam Teknologi Pendidikan
September 24, 2016
Perlukah guru mahir IT?
Pengalaman saya mengajar guru dan pensyarah serta memberi latihan yang berkaitan teknologi menyaksikan semacam ada satu kebiasaan untuk mereka bertanya berkali-kali perkara yang sama selepas mereka diajar dengan sejelas mungkin. Ia tidak dirancang tetapi disengajakan. Saya fikir itu hanya tanggapan saya sahaja. Rupanya tidak. Ia seperti masalah universal untuk pengajar-pengajar yang mengajar teknologi untuk berdepan dengan masalah ini.
​
Apakah faktor yang menyebabkan ilmu kemahiran seumpama ini menjadi begitu berbeza penerimaannya berbanding ilmu kemahiran lain? Apakah perbezaannya? Apakah cara yang terbaik untuk mengatasi masalah ini?
September 24, 2016
Bila kita akan ada Future Classroom?
Konsep 'Future Classroom' telah disebut-sebut sebagai satu initiatif yang bakal mengubah proses pengajaran dan pembelajaran sedia ada di sekolah-sekolah. Bagaimanapun, dengan melihat kekangan sedia ada, ia seakan-akan suatu yang mustahil walaupun dalam masa 5 tahun akan datang (hasil temubual saya di pelbagai peringkat). Pelbagai isu diutarakan dalam temubual yang telah saya dan pelajar saya jalankan. Ia seakan-akan menemui jalan buntu. Tiada atau kurangnya infrastruktur yang sesuai di sekolah-sekolah, tiada budget, guru tiada kemahiran (untuk sekolah yang telah ada kemudahan, guru tidak berkemahiran menggunakan teknologi) dan kebanyakan masyarakat pendidik tidak jelas dengan konsep ini. Adakah ia satu konsep yang universal atau satu lagi initiatif kementerian dalam meletakkan sekolah-sekolah di peringkat yang lebih tinggi? Apa pendapat anda?
September 24, 2016
Perlukah sekolah terjebak dengan MOOC?
Sebagaimana yang kita maklum, pendidikan tinggi sedang rancak memperkasa program dan kursus di universiti untuk ditawarkan secara dalam talian dan dibuka kepada umum secara percuma yang dipanggil sebagai Massive Open Online Course (MOOC). Sesiapapun boleh belajar secara percuma sekarang ini di mana-mana dan pada bila-bila masa. Kebanyakkan daripada MOOC universiti tempatan dilabuhkan di dalam platform yang berpangkalan di seberang laut iaitu Australia bagi memastikan proses pengantarabangsaan dapat berlaku dengan lebih nyata. Sesiapa yang ingin mencuba, anda boleh melayari openlearning.com untuk mencuba. Pengalaman saya yang sedikit dalam membina garispanduan, menyelaras pembangunan MOOC di universiti, memberi latihan dan menjalankan kajian berkenaan MOOC menyaksikan bahawa ini bukan kerja mudah. Di peringkat kementerian sendiri, ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak terutamanya universiti sendiri yang tidak berkira dalam wang ringgit, masa dan tenaga.
​
Bagaimanapun, terdapat desas desus MOOC akan dihasilkan juga di peringkat sekolah? untuk sekolah? oleh sekolah? Persoalannya di sini, adakah ia perlu? Untuk siapa? Apa yang akan diMOOCkan? Siapa yang akan membangunkannya? Sekiranya ini benar, apa pendapat anda?