top of page

KONSEP UTAMA TEORI SOSIOBUDAYA UNTUK TEKNOLOGI PENDIDIKAN

Zon Perkembangan Terdekat-ZPT (Zone of Proximal Development -ZPD)

 

Istilah ZPT merujuk kepada ‘jarak antara kemampuan sebenar penyelesaian masalah oleh individu dengan pencapaian apabila individu dibantu oleh ahli yang lebih mahir atau arif’ (Vygotsky 1978, ms.86). Satu contoh kertas ilmiah yang menerangkan peringkat perkembangan ini boleh didapati di sini.

 

Ini bermaksud interaksi sosial adalah elemen penting dalam pembelajaran iaitu individu dibantu oleh mereka yang lebih mahir. Aspek ini adalah penting untuk merancang strategi pengajaran secara atas talian. Pembelajaran dengan rakan sebaya dapat memberi ruang untuk berlakunya interaksi yang menghasilkan perkembangan ZPT ini.

 

Sekiranya perantaraan alatan seperti komputer dianggap sumber yang ‘signifikan’, ini bermakna komputer mampu membantu membentuk dimensi baru pengajaran dalam ZPT seseorang. Bagaimanapun, penekanan terhadap ZPT adalah lebih kepada proses perubahan, berbanding hasil aktiviti bantuan tersebut.

Perantaraan  alat (Tools Mediation)

 

 

 

Struktur asas akal manusia yang terhasil dari bantuan perantaraan alatan dilambangkan dalam bentuk segitiga seperti  ditunjukkan oleh Cole dan Engestrom, 1993 di sebelah.

 

​Perantaraan Alat (Adaptasi dari Cole dan Engeström, 1993)

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Aktiviti harian manusia pada asasnya berlangsung dengan bantuan alatan di sekeliling mereka. Menurut Vygotsky’s (1978), fungsi mental manusia tanpa bantuan berlaku di sepanjang garis mendatar segitiga; manakala fungsi berbantu mengandungi interaksi antara subjek dan objek dibantu dengan bantuan alatan di puncak segi tiga (Cole dan Engeström, 1993: 5).

 

Perantara, dalam konteks ini seperti yang telah dinyatakan terdahulu ialah perantara berbentuk fizikal dan simbolik. Terlebih dahulu bahagian ini akan menumpukan perbincangan terhadap alat bantuan fizikal. Alat bantuan fizikal yang biasa digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran dalam talian termasuklah sistem unit, jaringan rangkaian dan perisian aplikasi yang digunakan oleh guru dan pelajar dalam mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran.

 

Dalam konteks pembelajaran dalam talian, ‘sebarang entiti sama ada digital atau tidak, yang boleh digunakan dalam pembelajaran, pendidikan atau latihan’ adalah dipanggil sebagai ‘objek pembelajaran’. ‘Objek pembelajaran’ adalah ‘perantara’ untuk membantu pembelajaran pelajar sama ada pembelajaran secara bersendirian atau berinteraksi dalam kumpulan, sama ada secara synchronous atau asynchronous.

Teori Aktiviti (Activity Theory)

​

Engeström (1987) telah menambah elemen-elemen lain dalam ‘segitiga bantuan’ untuk lebih memperhalusi peranan alat dan fungsi komuniti atau masyarakat di sekeliling individu seperti di bawah:

 

 

Ilustrasi Sistem Aktiviti (adaptasi dari Engeström, 1987)

 

 

 

 

 

​

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Komponen ‘subjek’ dalam model di atas adalah individu atau kumpulan individu yang menjalankan sesuatu aktiviti. Aktiviti berkeadaan kolektif dan subjek menggunakan atau memanipulasi alat dalam kontek sosial untuk mencapai sesuatu ‘objek’ atau objektif.  Komponen ‘objek’ selalunya merujuk kepada ‘objektif’ atau motif aktiviti dimana ia memberi halatuju aktiviti tersebut dengan perantaraan alatan. Sebagai contoh, individu pelajar atau guru menggunakan platfom Learning Management Sustem (LMS) untuk perbincangan dalam kumpulan bagi tujuan mencapai objektif pembelajaran. ‘Perantara’ dalam konteks ini termasuk LMS itu sendiri, rangkaian komputer, dan wacana yang terhasil dalam aktiviti perbincangan melalui LMS tersebut. Komponen ‘perantaraan alat’ dalam model ini menekankan bahawa aktiviti manusia tidak boleh lari dari aspek bantuan alatan sama ada berbentuk fizikal ataupun konseptual.

 

Komponen ‘peraturan’ pula merangkumi perkongsian kefahaman terhadap tatacara bagaimana aktiviti dilaksanakan. Ia merangkumi peraturan yang jelas nyata mahupun tersembunyi seperti norma-norma budaya yang terdapat di dalam komuniti. Sebagai contoh prinsip ‘setiap tindakan ada tindak balas’ di mana hantaran mesej yang dihantar biasanya pasti akan dibalas. Walau bagaimanapun seperti yang telah ditekankan, amalan sosial sesuatu masyarakat bergantung kepada sosiobudaya masyarakat tersebut. Oleh itu agak tidak menghairankan sekiranya pelajar-pelajar Malaysia akan ‘tunggu dan lihat’ tindakan dari guru untuk penyelesaian sesuatu masalah yang diutarakan di dalam forum, dan bukan bertindak terus untuk menolong mengatasi masalah tersebut. Sikap seumpama ini mungkin dipengaruhi oleh budaya masyarakat timur itu sendiri seperti ‘menghormati yang tua atau orang yg lebih tahu’ (seperti dalam amalan Konfusius) atau lebih suka memendam pendapat atau reserved (Azahar et al., 2005). Oleh yang demikian komponen ‘peraturan’ ini berbeza untuk kumpulan komuniti atau masyarakat yang berbeza.

 

Komponen ‘komuniti’ merangkumi individu-individu yang terlibat dalam aktiviti ‘subjek’. ‘Komuniti’, dalam perspektif model ini memberi penekanan bahawa aktiviti ‘subjek’ perlu dilihat dalam kontek sosial dan budaya setempat di mana aktiviti itu berlangsung. Sebagai contoh, penyelaras kursus atau program, pentadbir, staf yang memantau pengajaran dalam talian, pengajar dan pelajar adalah komuniti yang terlibat dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam talian dalam sesuatu kursus di universiti. Komuniti yang terbentuk adalah berlainan sifatnya jika dibandingkan dengan komuniti dalam talian yang bersifat lebih terbuka keahliannya seperti ‘komuniti pencinta alam’ atau ‘ahli peminat astronomi’. Perbezaan ini juga memberi impak kepada komponen ‘peraturan’, di mana ‘peraturan’ yang ‘dikongsi’ di dalam komuniti-komuniti tersebut adalah berbeza. Aktiviti-aktiviti yang dijana dalam komuniti pertama lebih bermatlamat berbanding komuniti kedua, maka peraturannya lebih jelas berbanding komuniti kedua. Contohnya, peserta komuniti pertama perlu lebih responsif terhadap posting dan permasalahan yang dihantar oleh peserta lain di dalam komuniti. Antara sebab-sebab penting peserta perlu lebih responsif kerana: sifat tanggungjawab dalam kerja berkumpulan; kerana markah dan sebagainya. Untuk komuniti kedua, seseorang peserta tidak ‘diwajibkan’ untuk respon kepada peserta lain walaupun secara idealnya, ‘peraturan’ untuk menjadikan sesuatu komuniti itu aktif dan berjaya ialah apabila semua peserta lebih responsif terhadap satu sama lain bagi melahirkan ‘ikatan’ komuniti yang kuat. ‘Peraturan’ dalam kedua-dua komuniti ini dengan kata lain adalah berbeza disebabkan ‘objek’ dan sifat ‘komuniti’ yang berbeza.

 

Komponen ‘pengagihan kerja’ melambangkan agihan tanggungjawab dan kepelbagaian bidang tugas untuk ‘subjek’ dan ‘komuniti’ dalam aktiviti yang dijalankan. Sebagai contoh pengajar memikul tugas sebagai pemantau aktiviti pelajar atau pemudahcara dan staf sokongan bertanggungjawab memastikan sebarang aduan bagi permasalahan teknikal ditangani dengan segera. Manakala ketua pelajar perlu memastikan pelajar lain telah mendapat pembahagian tugas untuk memastikan tugasan dapat dibuat dengan lancar dan betul.

 

Dalam aplikasi Teori Aktiviti untuk sebarang kajian, unit analisis kajian adalah ‘aktiviti’itu sendiri. Oleh itu, secara praktikalnya, teori ini agak sukar diaplikasikan sebagai kaedah kajian kerana agak sukar untuk mengukur kesemua elemen dalam model tersebut. Sebaliknya model ini lebih sesuai sebagai alat diskriptif kerana ia menyentuh hampir kesemua aspek dalam aktiviti individu tersebut yang melibatkan kesemua elemen yang telah dinyatakan.

​

(Habibah Ab Jalil dan Fadzilah Abd Rahman. (2008). Pengajaran dan Pembelajaran dalam Talian – Perspektif Sosiobudaya. In Aida Suraya Md Yunus, Ahmad Fauzi Mohd Ayub & Othman Talib (Eds.). Amalan dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains, Matematik dan Pembelajaran Berasaskan ICT. Serdang: UPM Press.)

Teori Aktiviti

Komuniti Pengamal (Community of Practice -CoP)

 

Istilah ini selalu digunakan dalam sorotan kajian dalam membicarakan tentang komuniti dalam talian. Terdapat pelbagai jenis komuniti di sekeliling kita sama ada di tempat kerja, di sekolah, rumah, kampong dan sebagainya yang terdiri dari ahli-ahli komuniti itu sendiri. Ahli komuniti berkongsi praktis atau amalan lazim mereka. Sifat antara satu komuniti dengan komuniti yang lain berbeza-beza seperti struktur, nama dan sebagainya. Menurut Wenger (1998) sesuatu ‘kelaziman komuniti’ dapat dibezakan dengan komuniti lain dalam tiga dimensi berikut iaitu:

  • apa yang mereka lakukan

  • bagaimana komuniti berfungsi

  • kebolehan yang terhasil dari ahli komuniti

​

Saksikan video ini untuk memahami lebih lanjut tentang KOMUNITI PENGAMAL!

​

Satu contoh kertas telah dibentang oleh Nor Asiah Mohamad@Razak dalam seminar GREDUC2018 yang telah mendapat pengiktirafan Kertas Terbaik (Gold) bertajuk "Kerangka Konsep bagi Kejayaan Guru dalam Pengintegrasian ICT: Pendekatan Teori Sosial dan Budaya"

Habibah Ab Jalil

© 2016 by Habibah Ab Jalil. Proudly created with Wix.com

  • Facebook Clean Grey
  • Twitter Clean Grey
  • LinkedIn Clean Grey
bottom of page