Future Classroom? - About Human and Learning
- habibah.jalil
- Apr 16, 2018
- 5 min read

Bagaimana Manusia Memperoleh Ilmu
Dalam memperkatakan tentang pembelajaran masa depan, adalah penting untuk membincangkan bagaimana manusia itu belajar terlebih dahulu. Begitu juga untuk memahami keadaan masa hadapan bagaimana pendidikan akan tercorak, adalah penting untuk memahami bagaimana secara semulajadi manusia mendapat ilmu. Melalui rangka pengkaedahan ini maka akan lebih mudah untuk kita memahami pendidikan masa depan akan tercorak dan sekali gus membantu kita merangka bagaimana untuk menyediakan sistem pendidikan yang bersesuaian untuk masa akan datang. Terdapat tiga kaedah utama bagaimana seseorang individu memperoleh ilmu dalam tempoh sejak mereka lahir sehingga ke hujung hayat mereka iaitu:
Melalui pancaindera
Melalui apa yang dikhabarkan kepada mereka
Melalui akal atau taakulan
‘Multimodaliti’
Sejak dari azali kita memahami manusia berinteraksi dengan persekitarannya melalui pancaindera utama mereka iaitu deria yang terdapat di tubuh badan mereka. Pancaindera ini mengesan persekitaran dan akal menterjemahkan apa yang diterima melalui pancaindera ini. Semakin bertambahnya kematangan tubuh badan dan semakin kerap pancaindera ini berinteraksi dengan persekitaran yang sama, semakin ia menjadi ilmu yang stabil dalam diri individu itu. Namun, sifat semulajadi atau fitrah manusia, akan mendorong mereka untuk mencuba sesuatu yang baru dan menyebabkan ekplorasi baru pancaindera untuk mendapatkan ‘pengalaman’ baru yang akan menguja dan menguji ilmu yang sedia ada.
Konsep ini dipanggil sebagai multimodaliti dimana manusia mengguna pelbagai pancaindera untuk memperoleh maklumat. Mata untuk memerhati persekitaran sebagai maklumat berbentuk gambaran, hidung mengesan bau, telinga mendengar bunyi, lidah mengesan rasa dan kulit mengesan sentuhan. Kesemua deria ini saling berinteraksi untuk menyampaikan maklumat yang tepat pada ketika itu untuk diterjemahkan oleh akal.
Penyampaian
Selain daripada apa yang dikesan oleh pancaindera, manusia juga mendapat maklumat melalui apa yang disampaikan kepada mereka dari luar. Dalam dunia islam, ia dipanggil sebagai ‘khabar’ dan sumber utama ilmu islam adalah melalui kaedah ini iaitu wahyu yang berupa ilmu terus dari Allah yang disampaikan melalui malaikat kepada Nabi dan Rasul. Ilmu ini dijadikan panduan untuk manusia memperbaiki kerosakan yang ada dan sebagai panduan untuk menjadi manusia yang taat kepada Pencipta dan menjadi khalifah di atas muka bumi. Bagaimanapun, masa juga menyaksikan ‘khabar’ juga datang dari sumber antara manusia dan dari sinilah ilmu ‘dunia’ terhasil dan berkembang. Malah, semakin dunia berkembang, kaedah ini sudah menjadi lebih besar berbanding kaedah alami yang diterangkan terdahulu. Manusia mendapat maklumat dari pelbagai sumber dalam pelbagai media. Kelambakan maklumat ini menjadikan tercetusnya ancaman tentang sifat maklumat itu sendiri iaitu sama ada ianya sahih atau tidak. Di sini, adalah menjadi penting untuk melihat aspek ‘sumber’ ilmu yang terhasil melalui kaedah penyampaian. Dengan sebab itu, ilmu yang tersahih dan paling tinggi darjatnya adalah sepatutnya ilmu yang didapati dari pemilik ilmu itu. Sebagai contoh, sumber ilmu wahyu adalah datang dari Allah dan semestinya adalah yang paling sahih kerana ia datang dari Pencipta alam yang mengetahui segala apa yang diciptakan dalam alam ini. Kemudian, ilmu-ilmu dunia yang tercipta hasil dari pengalaman dan kepandaian manusia, disampaikan melalui pelbagai media yang semestinya mencair kesahihannya dari sumber asal melainkan ia disampaikan secara tekal (tidak berubah). Ilmu mesti bersumber dari ahlinya untuk menentukan kesahihannya.
Akal
Ilmu yang terhasil dari kedua-dua kaedah yang diterangkan sebelum ini menjadi ilmu yang difahami apabila berlaku kaedah penjanaan ilmu kaedah ketiga ini iaitu melalui akal. Tanpa kaedah ketiga ini, maklumat hanya tinggal sebagai data dan maklumat dan tidak lebih dari itu. Akal manusia membolehkan apa yang diterima dari kedua-dua kaedah sebelum ini, menjadikan ia ilmu yang difahami dan berguna untuk diri manusia itu.
Dalam akal manusia, segala maklumat diproses, dicerna dan diinternalisasi, dibanding dan dinilai untuk digunakan dalam membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan memberi pendapat. Akal dirangsang apabila ada persoalan, untuk mencari jawapan dari pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Dengan sebab itu, penyoalan adalah pemandu untuk akal berkerja, menyemak maklumat sedia ada tersimpan sebagai sumber rujukan untuk diberi erti, dianalisis, disintesis dan diterjemahkan melalui pemikiran. Akal boleh dilatih agar pemikiran sihat terhasil. Ia adalah melalui pendidikan. Sama ada pendidikan formal atau tidak, akal boleh dilatih dan dibentuk menjadi satu kebiasaan bagaimana seseorang patut berfikir.
Kaitan dengan Pendidikan
Jika dilihat dari apa yang telah diterangkan sebelum ini, agak jelas bahawa pendidikan yang terancang adalah perlu dalam mendepani kelangsungan pendidikan masa depan. Persekitaran, medium pembelajaran dan kaedah pengajaran menjadi aspek utama yang perlu diberi perhatian kerana ia membentuk bagaimana generasi akan datang mendapatkan ilmu yang berguna.
Persekitaran yang baik akan menjadi input yang baik kepada pancaindera manusia dan sekali gus maklumat yang tinggi nilainya akan dapat digunakan untuk membina ilmu yang berguna. Pancaindera manusia bukan sahaja perlu dalam keadaan fizikal yang baik (sihat anggota badan) untuk mengesan persekitaran tetapi juga pancaindera yang ‘matang’ yang tahu menilai secara tepat apa yang patut dan tidak patut dikesan oleh pancaindera mereka. Dengan kata lain, selain pendidikan perlu menyediakan persekitaran pembelajaran yang baik, manusia itu sendiri perlu dididik agar ia sihat dari segi fizikal dan mental supaya hubungan persekitaran-manusia dapat dibentuk secara harmoni.
Selain persekitaran, medium dalam menyampaikan maklumat juga adalah aspek penting untuk dilihat dalam merancang pendidikan masa depan. Medium perlu dikawal supaya ‘khabar’ atau maklumat yang sampai adalah yang sahih, tepat dan mudah difahami. Perkembangan teknologi maklumat adalah begitu pesat kerana maklumat dilihat sebagai komoditi pembangunan. Arus pembangunan dalam era maklumat telah mewujudkan kecelaruan di mana teknologi telah melangkau batas medium penyampaian maklumat sehingga dalam penyampaian pendidikan. Ini dapat dibuktikan apabila melalui teknologi, kita tidak lagi dapat membezakan yang mana satu medium komunikasi untuk pendidikan dan yang mana satu adalam bukan untuk pendidikan. Pelajar bebas menggunakan apa sahaja untuk mendapatkan maklumat dari pelbagai sumber dan media. Adakah maklumat yang diperolehi ini dikira sebagai ilmu? Apakah yang membezakan maklumat dan ilmu? Dalam keadaan apakah maklumat atau ilmu itu dikira penting untuk digunakan? Bagaimana untuk memastikan individu mendapat ilmu yang diperlukan adalah tepat dan benar?
Untuk menjadikan sesuatu ilmu itu berguna, akal perlu dididik untuk dapat menterjemahkan maklumat menjadi ilmu dan seterusnya ilmu kepada keputusan dan tindakan yang betul dan tepat. Ia dapat dilakukan melalui didikan iaitu proses pengajaran yang baik. Inilah tugas pendidik yang tidak akan hilang sampai bila-bila selagi adanya manusia. Pendidik bertanggungjawab membentuk minda yang sihat supaya semua manusia yang dididik dapat menjadi khalifah iaitu insan yang bertanggungjawab mengurus kehidupan dan persekitaran mereka dengan baik.
Kaitan dengan Fungsi Teknologi
Teknologi adalah alat dan tidak lebih dari itu. Meskipun terdapat pendapat bahawa teknologi boleh berperanan lebih daripada sebagai alat, seperti pencetus perubahan (game changer), anjakan paradigma, penggalak pembangunan dan arus perubahan dan sebagainya, hakikatnya kesemua pendapat tersebut terhasil dari manusia dan bukannya teknologi itu sendiri. Manusia sendiri yang membina idea dan membawa idea menjadikan teknolgi seperti yang diharapkan dan bukan dari teknologi itu sendiri. Oleh kerana teknologi itu hanyalah alatlah, maka teknologi boleh berkembang dengan begitu pesat kerana yang berinovasi adalah manusia dan bukan teknologi. Atas sifat teknologi sebagai alatlah yang membolehkan kita merekacipta pelbagai teknologi yang dapat membantu kehidupan kita, dan bukan sebaliknya – teknologi yang melahirkan inovasi. Atas kefahaman ini juga kita bertanggungjawab untuk merancang masa depan dengan dibantu teknologi dan bukan ditentukan oleh teknologi.
Dalam pendidikan, teknologi dapat membantu dalam pelbagai aspek iaitu untuk perancangan, pembangunan, penyampaian, kawalan, penilaian dan penambahbaikan. Malah, kita tidak lagi dapat memisahkan pendidikan dengan teknologi. Teknologi telah membantu pendidikan untuk menjadi satu sistem yang lebih terbuka dan dinamik kerana teknologi itu sendiri berubah terhadap masa. Pendidikan telah berubah dari sistem yang tertutup kepada sistem yang dinamik dan terbuka apabila adanya teknologi komunikasi digital dan internet.
Bagaimana ruang pembelajaran harus bersesuaian dengan ketiga-tiga elemen ini?
Comments